Pengumuman pimpinan pakatan
pembangkang yang ingin menurunkan harga kereta melalui ‘Manifesto Bukan
Janji’ yang dibentangkan baru-baru ini dilihat sebagai pendekatan
populis semata-mata. Ini kerana ramai yang berpendapat ia bukanlah
kaedah yang terbaik buat rakyat malah bakal memberikan impak besar
kepada negara.
Ini kerana secara keseluruhannya penurunan dan pemansuhan cukai
kenderaan belum tentu menurunkan harga kereta. Sebagai contoh kereta
hibrid tidak dikenakan cukai, namun harganya tidak pula diturunkan
kerana pengeluar juga perlu mengambil untung.
Malah di Amerika Syarikat kereta tersebut turut dikenakan cukai,
namun harganya lebih murah kerana pasaran negara itu besar berbanding
Malaysia.
Kerajaan secara dasarnya telah mengambil kira pelbagai faktor dalam
usaha menurunkan harga kenderaan, termasuk syarikat pengeluar, pengusaha
industri kenderaan terpakai serta kepentingan pengguna.
Adalah penting untuk mengimbangi semua ini, kerana jika harga kereta
terlalu rendah syarikat pengeluar tidak akan mendapat keuntungan malah
para pelabur pula akan lari dan tidak lagi membuka kilang di Malaysia.
Tidak ketinggalan penurunan harga kereta secara mendadak turut akan
menjejaskan pembangunan industri automotif tempatan secara keseluruhan.
Kesannya ialah ekonomi kita, kestabilan ekonomi negara bakal terjejas
sekiranya harga atau duti eksais diturunkan seperti yang dikatakan oleh
pembangkang jika berjaya menawan Putrajaya. Malah mereka-mereka yang
terlibat dengan industri automotif ini akan berdepan dengan situasi
gulung tikar dan muflis.
Itu belum lagi diambil kira faktor yang akan menyebabkan hasil negara
berkurangan sebanyak RM7 bilion.
Sekali gus ia pastinya akan
merencatkan usaha kerajaan untuk membangunkan infrastruktur kepada
rakyat khususnya di kawasan-kawasan pedalaman.
Menurut pakar ekonomi, apa yang penting ialah bukan menurunkan harga
cukai, kerana harga kenderaan sebenarnya boleh turun tanpa perlu
mengurangkan pendapatan negara. Iaitu melalui langkah yang diambil oleh
kerajaan sebelum ini dengan melakukan rundingan dengan syarikat
pengeluar kenderaan.
Ini kerana langkah tersebut jelas terbukti memberi hasil positif yang
jauh lebih baik berbanding ‘manifesto bukan janji’ pakatan pembangkang.
Malah usaha kerajaan untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam agar
lebih efisien, selamat dan dinikmati juga merupakan satu langkah yang
dinamik.
Selain mengelakkan kesesakan jalan raya, kos perjalanan yang lebih
murah ia juga mampu mengurangkan penceraman alam sekitar. Ini kerana
hanya dengan menurunkan harga tidak akan mampu memberi penyelesaian
terbaik kerana perlu mengambil kira faktor pengeluaran serta pendapatan
rakyat.
Ia sekali gus menunjukkan bahawa pembangkang kini ketandusan idea
sehingga membuat kenyataan tanpa kajian terperinci dan kesan yang bakal
dihadapi negara jika ia dilaksanakan.
Berbeza dengan kerajaan BN yang
sentiasa mementingkan kebajikan rakyat dengan melaksanakan dasar-dasar
yang mampu menjana ekonomi negara serta kemakmuran rakyat.