Friday, November 29, 2013

Siti Aishah Abdul Wahab Hamba Ideologi


Tahap kebijakan manusia dengan ilmu yang ada tidak akan mampu untuk mencapai lebih daripada setitik air di lautan.

Menurut Karl Marx, agama adalah candu masyarakat kerana agama, masyarakat menjadi tidak maju dan tidak dapat bersikap rasional. Manakala, konsep penting dalam pemikiran aliran Moisme pula ialah kasih sayang sejagat, mengecam sikap suka berperang, menyerah kepada nasib, mengutamakan golongan cerdik pandai.

Dengan berpegang kepada ideologi ciptaan manusia, seseorang itu sememangnya telah meletakkan dirinya sebagai hamba kepada ideologi tersebut.

Siti Aishah Abdul Wahab telah dipengaruhi secara psikologi kerana ketaksubannya kepada seorang manusia yang digelarnya; Comrad Bala. Ketaksuban yang membawa BALA ke dalam hidupnya. Samalah seperti seorang penagih dadah yang gembira apabila mendapat bekalan dadah, walhal dadah itulah yang membawa kemusnahan dan bala kepada hidup penagih itu.


Sebab itulah kita yang dijadikan oleh tuhan sebagai manusia, hendaklah menerima konsep diri kita ini sebagai makhluk dan sentiasa akur menjadi hamba kepada Tuhan. 

Apakah Siti Aishah melaksanakan ideologinya, bila mana dia sendiri menghilangkan diri dari berhubung dengan keluarganya? Inikah yang dikatakan ideologi kasih sayang sejagat?

Walau apapun tanggapan, sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun. Ambillah ikhtibar dan pengajaran daripada peristiwa yang dilalui oleh Siti Aishah Abdul Wahab ini.

Di dalam dunia ini, selain ideologi ciptaan manusia terdapat juga manusia yang terang-terangan menggunakan kejahilan yang ada pada manusia untuk mempengaruhi dan menyebar ajaran yang jelas sesat.

Ada juga manusia yang rakus dan berselindung di sebalik jubah agama, memanipulasi kealiman dan saban hari merendahkan agama dengan fatwa latahan, memecahkan perpaduan ummah sehingga Tuhan pun sanggup dikata mencarut juga.





Sifat Yang Membawa Kemusnahan

1.   Teramat Mencintai Dunia

Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya; "Mencintakan dunia itu adalah pokok segala kesalahan".

Manakala firman Allah dalam  Ali Imran Ayat 14 yang maksudnya; "Dijadikan pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik (syurga)."

Dunia adalah tempat bercucuk tanam untuk kita menuai hasilnya di akhirat kelak. Oleh itu, lakukan amal kebajikan di dunia ini dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Sebaik-baik balasan ialah apa yang Allah kurniakan kepada kita. Itulah yang berkat.

Keduniaan pula ialah kehidupan dunia yang tiada kaitan dengan urusan akhirat seperti gilakan kuasa, kedudukan, taraf, status, gelaran, pengaruh dan sebagainya.