Pembubaran Parlimen yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi
bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), telah
menimbulkan banyak persoalan terutama di kalangan ahli politik,
pemerhati politik, pelabur, ahli perniagaan atau rakyat biasa, apakah
Barisan Nasional (BN) akan kembali diberikan mandat oleh rakyat atau
sebaliknya.
Namun apa yang pasti ia terpulang kepada kira-kira 13 juta pengundi
yang akan membuat pilihan dalam menentukan mereka yang layak diberikan
amanah dan tanggungjawab dalam mengurus tadbir negara.
Seorang tokoh
akademik yang ingin merungkai persoalan tersebut, telah melakukan kaji
selidik dan analisa mengenai perkembangan politik negara percaya arus
politik massa akan memihak kepada BN.
Dalam wawancara khas bersama Bernama, Ketua Kluster Sejarah Warisan
dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Kamaruddin M
Said, meramalkan BN mempunyai peluang untuk menang 2/3 kerusi parlimen
pada pilihanraya umum ke-13 (PRU13).
Ia merujuk kepada dasar dan perlaksanaan dasar yang dilakukan oleh
kerajaan BN tetap jauh lebih baik dari Pakatan Rakyat. Selain daripada
memang lebih 2/3 majoriti, beliau turut optimis BN akan dapat merampas
semula kerusi-kerusi yang hilang pada pilihan raya yang lalu.
Ini kerana para pengundi pada 2008, telah mula menyedari dan melihat
kesilapan mereka 4 tahun lepas, ingin menebus kembali kesilapan yang
pernah dilakukan itu. Kamaruddin mengakui bahawa pandangan beliau
mungkin dianggap terlalu optimistik oleh sesetengah pihak tetapi
pandangan ini berdasarkan kepada sentimen pengundi dan asas-asas yang
memihak kepada BN.
Dengan menyifatkan PRU13 sebagai pilihan raya penyelarasan, beliau
berpandangan pengundi 2008 sudah dapat menilai baik buruk, kekuatan dan
kelemahan kedua-dua pihak BN dan pakatan pembangkang (PR).
Beliau turut
bersandarkan kepada analisis yang optimis melalui kepimpinan kerajaan di
bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kepimpinan BN sudah jauh berubah berbanding 2008. Dinamik, pemikiran
yang lebih terancang dan langkah-langkah pembangunan yang strategik.
Beberapa faktor ini difikirkannya akan mempengaruhi pengundi untuk
memberi undi mereka kepada BN.
Malah sebelum ini, badan pemikir swasta, Institut Kepimpinan
Strategik Asia (ASLI) turut meramalkan BN akan memenangi PRU13 kerana
sokongan masyarakat Melayu luar bandar telah kembali kepada Umno dan BN.
Dalam analisis yang dibentangkan, ASLI berkata BN dijangka memenangi
123-135 kerusi dalam pilihan raya akan datang, tetapi boleh mencapai
setinggi 150 jika Perdana Menteri berjaya menarik pengundi Cina dan
India yang dilihat semakin cenderung dan selesa dengan pendekatan Datuk
Seri Najib.
Selain dari itu, kaji selidik yang dianjurkan Yayasan Ehwal Siswazah
(YES) awal tahun lalu turut menunjukkan sokongan terhadap BN berada
dalam keadaan kukuh di kalangan mahasiswa dengan 63% yakin bahawa BN
akan menang dalam PRU-13. Tidak cukup dengan itu kaji selidik di
negeri-negeri yang dikuasai oleh pakatan turut menunjukkan populariti
Perdana Menteri meningkat.
Kelantan sebagai contoh memperlihatkan tahap sokongan 60.8%, Kedah
63.8% dan Selangor 54.55%. Daripada semua responden ini, 40.1% telah
dikenalpasti sebagai golongan atas pagar dan 80% daripada mereka ini
pula telah bersedia untuk mengundi dalam PRU kali ini.